CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, 14 April 2011

Jauh di mata, dekat di hati.

Assalamualaikum w.b.t.
How's your day? May the upcoming days will get better and a lot better for all of us.


Okey, ana mengambil kesempatan ini untuk menghebahkan kepada semua tentang laman web forum Badan Pengawas SMKA Naim Lilbanat bertepatan dengan misi Konferensi Badan Pengawas SMKA Naim Lilbanat 2011 agar lebih banyak perkongsian idea bernas dan pengalaman dalam dunia kepimpinan dapat dihasilkan menerusi laman tersebut.
Peringatan kepada semua pengawas, anda diminta untuk register dalam forum tersebut.
Buat rakan - rakan pengawas dari sekolah - sekolah di luar sana, idea - idea bernas anda amatlah dialu-alukan dan dihargai.Sebarang teguran membina dan komen bolehlah terus disampaikan.


 Kata kunci post kali ini ialah AURA pemimpin. Dalam dunia kepimpinan, sesungguhnya pemimpin paling berwibawa dan idola kita semua iaitu Nabi Muhammad Rasulullah s.a.w.


Mari kita sama - sama hayati keunggulan kepemimpinan junjungan Rasullah.s.a.w



Rasulullah pemimpin paling berpengaruh

Oleh Mohd Dzul Khairi Mohd Noor

MUHAMMAD Abdullah adalah pemuda yang pernah diberi kepercayaan menghakimi perbalahan berkaitan peletakan Batu Hitam (Hajar al-Aswad) berhampiran Kaabah. Baginda juga diberi gelaran al-Amin iaitu seorang yang dipercayai dan beramanah. Baginda terkenal dengan bercakap benar, sopan santun dan disukai penduduk Makkah.

Peribadinya yang mulia membuatkan penduduk pada waktu itu kagum dan menghormati beliau. Setiap perkara yang diberitahu olehnya akan dipercayai tanpa ragu. Sikapnya yang suka membantu penduduk di situ walaupun orang dibantu musuhnya sendiri serta ucapan dan komunikasinya yang lemah lembut, tidak sombong dan meninggi diri membuatkan orang ramai sukar mempertikaikan kejujuran beliau.

Muhammad yang selepas itu diangkat menjadi nabi dan Rasul, adalah pembawa ajaran agama Islam yang juga digelar sesetengah pihak sebagai Muhammadian. Namun, nama yang diberi sebenarnya Islam, bukanlah Muhammadian. Baginda pemimpin yang dipercayai ketika itu. Segala masalah akan dirujuk kepada Baginda. Kepakaran dan kepintaran Baginda terserlah ketika menjawab persoalan yang diajukan. Sebelum menjawab, Baginda akan meneliti terlebih dulu latar belakang orang yang bertanya.

Sekiranya ditanya mengenai amalan terbaik perlu dilakukan, Baginda akan menjawab berdasarkan kekurangan yang ada pada mereka. Jika orang menyoal kurang memberi salam, maka Baginda menjawab amalan yang paling baik adalah memberi salam. Inilah kehebatan psikologi Baginda.

Muhammad adalah pemimpin umat Islam. Baginda bukan sekadar pemimpin umat Islam bahkan pemimpin seluruh manusia. Nasihat dan teori Baginda bukan saja ditujukan untuk penganut di kalangan Arab Islam, malah merangkumi masyarakat India, Cina, Kadazan, Bidayuh, Iban, masyarakat di pedalaman, utara, selatan, timur, barat dunia dan sesiapa saja di seluruh dunia.

Sebagai contoh, masyarakat dunia mengakui kepentingan moral, etika, akhlak dalam politik, ekonomi, sosial, kebudayaan dan sebagainya. Baginda pernah menjelaskan bahawa Baginda dilahirkan atau berada di dunia ini adalah bagi membetulkan akhlak manusia dari setiap segi.

Baginda cuba memberi penerangan sejelasnya melalui ceramah, rapat umum, menghantar wakil untuk menerangkan mengenai akhlak, dokumen berbentuk surat dan sebagainya. Meskipun usaha ini tidak disenangi beberapa pihak, Baginda tetap dengan pendirian membuatkan penduduk dunia bermoral dan berakhlak mulia.

Beliau berpegang dengan prinsip rahmatan li al-'Alamin yang membawa erti sebagai kasih sayang secara universal. Keteguhan Baginda dalam menyebar luas ajaran etika murni ini menjadikan beliau layak menjadi pemimpin semua manusia.

Peribadi Baginda begitu menepati ciri pemimpin sempurna bagi manusia. Pemimpin yang tiada tandingannya. Baginda disifatkan oleh seorang penulis pada 1978, Michael H Hart, yang menerbitkan sebuah buku bertajuk 100: Kedudukan Tokoh Paling Berpengaruh dalam Sejarah sebagai pemimpin paling berpengaruh. Ia menyenaraikan kedudukan 100 tokoh. Orang pertama yang paling berpengaruh menurut beliau ialah Muhammad bin Abdullah.

Kejayaan Baginda dalam mengubah situasi masyarakat ketika itu berada dalam fasa kebodohan (zaman Jahiliah) menjadi masyarakat berjaya mengatasi kehebatan kuasa besar pada zaman berkenaan iaitu Kerajaan Rom dan Kerajaan Parsi yang menindas, begitu menggemparkan. Ia terserlah apabila seorang panglima daripada kalangan pengikutnya, iaitu Rub'i bin 'Amir berhadapan pembesar Parsi, Rostum.

Apabila ditanya objektif kedatangan beliau ke Parsi, dengan berani, beliau menjawab tujuannya adalah membebaskan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada memperhambakan diri kepada Tuhan serta bebaskan manusia daripada sistem manusia yang sempit kepada sistem ajaran akhlak yang luas. Begitulah kehebatan mereka.

Kejayaan Muhammad Abdullah, antara lain berupaya menyatukan perbalahan, permusuhan dan peperangan antara dua kaum dominan iaitu Aus dan Khazraj sehingga memperkuatkan lagi bahawa Baginda =tokoh yang sesuai menjadi pemimpin manusia. Tambah menakjubkan lagi, ketokohan Baginda dalam mendidik nilai mulia dalam diri masyarakat ketika itu menyatukan golongan Muhajirin dan Ansar. Golongan Ansar sanggup menyerahkan harta, bahkan isteri demi membantu golongan Muhajirin yang dalam kesusahan. Keakraban mereka ini, sudah pasti kesan kepemimpinan Muhammad.

Golongan Muhajirin yang berada di dalam kesusahan mempunyai sikap tersendiri. Mereka tidak mahu menyusahkan pembantu mereka. Mereka hanya bertanyakan di mana tempat perniagaan yang boleh dijalankan. Tambahan lagi, ada juga yang belum berkahwin demi menyelesaikan masalah akhlak yang lebih penting hasil didikan Muhammad.

Kita juga dapat melihat ketokohan Baginda dalam memimpin manusia, antara lain mengubah sikap Umar al-Khattab daripada pemabuk menjadi pemimpin agung. Mengubah Zul Bajadain daripada pemewah dan si kaya menjadi manusia ikhlas dan tekun beribadah. Memberanikan Abu Dzar menghadapi musuh walau diseksa.

Inilah antara revolusi moral yang dicetuskan Muhammad bin Abdullah. Jenayah ketika pemerintahan beliau jarang berlaku. Dalam masa 10 tahun di Madinah, sedikit sangat kes yang dibawa untuk diadili. Ia juga termasuk kes di mana sahabat sendiri mengakui kesalahan mereka. Baginda berjaya mendidik manusia menjadi insan mulia sehingga mereka rela mengakui kesalahan sendiri. Keikhlasan mereka tergambar pada pengorbanan dalam membantu Muhammad sama ada harta mahupun nyawa.

Sikap kepemimpinan beliau juga terserlah pada konteks politik, di mana Baginda tidak menyalahgunakan kekuasaannya. Baginda tidak menindas, membuli, bersifat diktator dan sebagainya demi kemewahan diri. Jika Baginda mementingkan diri, sudah pasti Baginda sudah menerima tawaran musuh seperti kuasa pemerintahan, wanita dan harta kekayaan. Inilah pemimpin ideal yang teguh pendirian dan tegas dengan prinsip apabila bercanggah dengan nilai mulia.

Pada aspek ekonomi, ketokohan Baginda dapat dilihat, bagaimana Baginda tidak mementingkan kekayaan. Bahkan, hasil didikan Baginda, isterinya sendiri sebelum meninggal dunia pernah menegaskan rela tulangnya digunakan sebagai pengorbanan dan cagaran demi menegakkan kebenaran. Inilah aura kepemimpinan Muhammad. Jika Baginda berjaya merampas harta perang, beliau agihkan kepada orang lain dan memilih sikap bersederhana. Di manakah kepentingan Baginda di sini?

Dari segi sosial, Baginda tidak memilih status melebihi orang lain. Buktinya, Baginda menolak tawaran kekayaan daripada musuh. Sambil memerintah, Baginda juga bekerja seperti menggali parit besar bersama sahabatnya dalam peperangan Khandak. Jika anaknya mencuri dan bersalah, Baginda menegaskan bahawa Baginda sendiri yang menghukum anaknya. Baginda tidak menganggap diri sendiri mempunyai hak istimewa berbanding orang lain.

Inilah sebahagian tanda ketokohan Baginda dalam memimpin manusia. Tanpa mementingkan diri dan menyalahgunakan kuasa yang dimiliki, ia sudah cukup membuktikan Baginda pemimpin semua manusia. Sesiapa saja yang mengenali Baginda, sudah pasti mereka akan mengagumi dan mengakuinya sebagai pemimpin paling berpengaruh. Bagindalah Muhammad Abdullah, pemimpin agung semua manusia.

Penulis adalah Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya


Sumber: Berita Harian 30.3.2007
Sama - sama kita berusaha meningkatkan kualiti diri sebagai pemimpin pelajar agar dapat menjadi pemimpin yang dihormati kerana sifat kepemimpinan yang mulia. Mengubah sesuatu keadaan itu sememangnya bukan suatu perkara yang mudah, namun sama - samalah kita berusaha membaiki diri ke arah kebaikan.

Prepared by
~ Nur A'isyah, Pen. Ketua Pengawas :) ~



0 comments: